Kongres KeADILan yang bakal diadakan di Stadium Melawati Shah Alam mulai 28 hinga 30 November ini bakal menjadi medan kepada perwakilan dan parti untuk bermuhasabah diri.
Kebanyakan pemimpin-pemimpin KeADILan yang dihubungi Suara Keadilan menyatakan bahawa Kongres kali ini pastinya akan membincangkan pencapaian parti pada pilihan raya umum ke-12, kemenangan dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dan isu-isu dalaman parti.
Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua turut menjangkakan isu pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat terutamanya Selangor yang diketuai oleh KeADILan akan dibincangkan sama.
Menurutnya, isu ekonomi, rasuah dan isu pentadbiran negara adalah antara topik yang akan menghiasi perbahasan perwakilan.
Beliau, yang juga Ahli Parlimen Batu turut menyatakan kongres kali ini akan mendapat sambutan hangat atau luar jangka di kalangan ahli dan penyokong.
Menurutnya pihak parti akan menjemput pemerhati dan memberi peluang kepada mereka untuk menyatakan pandangan kepada parti.
Dalam pada itu, Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) berkata kongres AMK bertujuan untuk membuka ruang kepada para perwakilan untuk membahaskan dasar perjuangan parti secara umum, dan polisi pentadbiran negeri Pakatan Rakyat secara khususnya.
Menurutnya Angkatan Muda akan mengadakan kongres sayap parti itu di Stadium Malawati pada 28 November.
“Sehingga ke saat ini persediaan sekretariat AMK berada di tahap yang amat membanggakan. Sejumlah 1100 perwakilan AMK akan berkumpul di Shah Alam, jumlah terbesar yang pernah dikumpulkan oleh AMK dalam Kongres Tahunan sepanjang sepuluh tahun yang lepas.
Gerak kerja sekretariat juga amat produktif dalam memastikan kelancaran Kongres tahun ini. Setakat ini kita mendapat kerjasama yang memuaskan. AMK mempunyai keyakinan yang penuh kepada Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor Khalid Ibrahim dan pasukannya untuk mengendalikan persiapan kongres yang julung-julung kali diadakan selepas kemenangan besar Keadilan di dalam pilihanraya yang lalu.
Walau bagaimanapun, AMK merasakan terdapat beberapa kelemahan ketara yang perlu dibaiki iaitu antara lainnya masalah kewangan dan juga komunikasi,” katanya lagi.
Dalam perkembangan yang sama, Ketua Wanita KeADILan, Zuraida Kamaruddin berkata kongres ke-5 KeADILan bakal menjadi tumpuan setiap pihak khususnya apabila di peringkat pusat sendiri menjangkakan kongress tersebut bakal di hadiri sehingga 10,000 perwakilan dan juga pemerhati.
Menurutnya, dengan kehadiran wakil-wakil rakyat yang paling ramai sejak penubuhan parti 10 tahun dan kini Pakatan rakyat khususnya KeADILan berjaya membuat transformasi kepada lima buah negeri yang dimenangi bagi pihak rakyat.
“Ini ditambah pula Kongres yang juga pertama kali diadakan sejak Ketua Umum Anwar Ibrahim menjadi Ketua pembangkang jelas menunjukkan perjuangan kita semakin menuju ke puncak kejayaan.
“Malahan Keberanian rakyat untuk berubah dari tradisi dan sokongan padu keseluruh rakyat khususnya telah berjaya melahirkan 31 Ahli Parlimen dan wanita tujuh orang wakil rakyat ini jelas membuktikan bahawa rakyat kini berani dan semakin mahukan perubahan,” katanya lagi.
Presiden keADILan Wan Azizah Wan Ismail akan menyampaikan ucapan dasarnya pada 29 November di Stadium malawati manakala Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali pula akan merasmikan Kongres AMK dan Wanita secara serentak pada 28 November di tempat yang sama.
-sumber dari Suara Keadilan Online
No comments:
Post a Comment