Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) menyeru agar kerajaan menyegerakan inisiatif bagi menubuhkan Tabung Pemberhentian Pekerja dalam masa terdekat memandangkan trend pemberhentian pekerja diramal serius. KeADILan juga akan mengadakan dialog dengan kesatuan pekerja dan ahli akademik dalam tempoh terdekat bagi mencari jalan untuk mengatasi isu kehilangan kerja yang dijangka makin serius. Pertemuan ini akan dikelolakan oleh Biro Pekerja KeADILan.
Menurut laporan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia, 4,749 pekerja akan diberhentikan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun depan, dan sekurang-kurangnya 200,000 pekerja akan hilang kerja pada akhir tahun nanti. Angka ini tidak termasuk lagi 300,000 pekerja daripada jumlah 500,000 pekerja Malaysia bekerja di Singapura yang akan diberhentikan kerja.
Berbanding dengan krisis ekonomi tahun 1998, di mana seramai 284,000 pekerja hilang kerja dengan kadar pengangguran 3.2%, kemelesetan ekonomi tahun ini jelas jauh lebih serius dan pasti mendatangkan kesan yang lebih teruk. Namun apa yang dikesali adalah sehingga ke hari ini kerajaan masih belum mewujudkan apa-apa langkah konkrit untuk menangani cabaran ini.
Malah usaha sekadar memantau melalui Jawatankuasa Pemantauan Pemberhentian Pekerja dan Jawatankuasa Membantu Pekerja-pekerja yang Diberhentikan adalah tidak mencukupi. Kementerian Sumber Manusia juga harus mempastikan majikan tidak membuang pekerja-pekerja hanya untuk mengurangkan kos pembelanjaan.
Di saat-saat kritikal ini, kerajaan harus memainkan peranan menjaga kebajian pekerja, dan tiba waktunya untuk mewujudkan jaringan keselamatan sosial yang menjamin kebajikan pekerja sebelum isu pengangguran terjebak ke dalam masalah sosial yang lebih besar impaknya.
TIAN CHUA
Ketua Penerangan
Ahli Parlimen Batu, WP
Parti Keadilan Rakyat
dari web rasmi KeADILan.
No comments:
Post a Comment